Parti Kuomintang
Pengenalan[edit | edit source]
Parti Kuomintang adalah gerakan haram yang kemudiannya telah disahkan sebagai parti politik apabila telah berjaya melakukan revolusi pada 1911. Parti Kuomintang ditubuhkan hasil daripada gabungan kumpulan kongsi gelap Tongmenghui dan Hung League yang merupakan gerakan pemberontakan bawah tanah untuk melawan maharaja China yang diketuai oleh Sun Yat Sen. Pada tahun 1911, Yuan Shi Kai yang merupakan seorang jeneral perang dan perdana menteri terakhir Dinasti Manchu telah mengambil alih revolusi daripada Sun Yat Sen. Tindakan ini telah menyebabkan sokongan rakyat juga terpecah dua sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara yang besar. Sun Yat Sen terpaksa menyerah jawatan presiden kepada Yuan Shi Kai yang kemudiannya telah mengkhianati perjuangan Kuomintang. Lantikan Yuan Shi Kai ini turut diiktiraf oleh British sebagai pemerintah yang sah sehingga menyekat aktiviti Kuomintang. Pengkhianatan ramai ahli Kuomintang telah menyebabkan Sun Yat Sen menubuhkan parti baharu iaitu Parti Revolusi Cina (CRP) pada pada tahun 1914. Gerakan ini telah dipengaruhi oleh fahaman Komunis apabila Sun Yat Sen telah meminta bantuan Vladimir Lenin yang merupakan revolusioner yang berfahaman Komunis dan telah berjaya mengambil alih pemerintahan Rusia. Lenin telah menghantar Mikael Borodin sebagai penasihat kem tentera Kuomintang iaitu Akademi Ketenteraan Whampoa. Fahaman Komunis ini telah berjaya meresapi Kuomintang sehingga lahirnya Parti Komunis China. Akibat daripada perselisihan kedua parti yang berpecah ini berlaku lagi perang saudara pada tahun 1927. (IRIS Institute, 2015)
Parti Kuomintang di Tanah Melayu[edit | edit source]
Parti Kuomintang di Tanah Melayu kebanyakannya terdiri daripada ahli perniagaan, editor, penulis akhbar dan guru sekolah vernakular. Parti ini memiliki tidak kurang daripada 36 cawangan yang kebanyakannya iaitu 27 cawangan berada di negeri Perak pada tahun 1913. Setelah itu, ditubuhkan pula Parti Revolusi Cina (CRP) dan memiliki 11 cawangan di Tanah Melayu sekitar tahun 1914-1919.